Tuesday, March 27, 2012

PAKEJ PEMBELAJARAN TAHUN 4

































REFLEKSI MINGGU 1 - 5

MINGGU PERTAMA

Minggu pertama merupakan minggu pengenalan kepada subjek ini iaitu Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer (BMM3106). Topik untuk minggu pertama ialah Penggunaan Enjin Pencarian Bahan Bahasa Melayu. Terdapat banyak pengetahuan dan kemahiran yang telah penulis lalui semasa melaksanakan tugasan amali minggu pertama ini.

Antara kemahiran yang penulis telah pelajari dan aplikasi dalam pembelajaran penulis ialah penulis belajar bagaimana menggunakan kata kunci dan frasa yang sesuai untuk mendapatkan bahan pengajaran Bahasa Melayu untuk mengakses ataupun mencari sesuatu bahan pengajaran itu sama ada dalam bentuk web, video, audio dan imej. Sebelum ini penulis tidak menyedari bahawa sesuatu bahan yang hendak dicari itu khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu memerlukan kemahiran yang khusus untuk mencari bahan menggunakan kata kunci dan frasa yang khusus agar bahan itu mudah diakses dan didapati serta lebih tepat. Maka, melalui amali pengajaran dan pembelajaran ini penulis telah mempelajari satu kemahiran yang penulis tidak sedari selama ini.

Dalam minggu ini juga penulis telah belajar bagaimana untuk menyimpan bahan yang dicari itu dalam bentuk fail dan juga internet. Melalui amali ini, penulis belajar bagaimana untuk menyimpan bahan yang dicari itu dalam bentuk alamat internet, fail internet, dan katalog internet. Selain itu, penulis juga telah belajar untuk lebih mengkhususkan bahan tersebut mengikut kategori dan pengkhususan yang spesifik agar bahan itu mudah untuk digunakan sebagai bahan bantu pengajaran dan pembelajaran semasa berada di sekolah nanti.

MINGGU KEDUA

Minggu kedua memerlukan penulis untuk melaksanakan amali mencari dan memilih bahan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menggunakan enjin carian di internet. Bahan-bahan yang penulis cari dan pilih tersebut adalah dalam bentuk audio, video, grafik dan teks serta mengumpul bahan tersebut dalam folder mengikut kemahiran lisan, membaca dan menulis. Melalui amali ini, penulis secara tidak langsung dapat mengumpul dan mencari bahan-bahan pengajaran dalam Bahasa Melayu yang penulis dapat jadikan sebagai bekalan bahan bantu mengajar semasa di sekolah nanti. Pengumpulan bahan tersebut dalam folder mengikut spesfikasi kemahiran bahasa juga dapat membantu penulis untuk menggunakana bahan tersebut semula dengan mudah sebagai bahan pengajaran kelak.

Sehubungan dengan itu, penulis juga belajar bagaimana menggunakan bahan yang dicari dan disimpan itu sesuai untuk digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran murid-murid di sekolah dan penulis menyedari bahawa guru hendaklah bijak untuk menggunakan bahan tersebut sebagai bahan yang dapat membantu pembelajaran murid. Maka, melalui amali tugasan minggu ini penulis telah banyak belajar bagaimana untuk mencari dan menyimpan pelbagai bahan pengajaran yang sesuai untuk diaplikasikan murid di samping penulis juga belajar bagaimana untuk menggunakan bahan tersebut agar dapat membantu dan mempermudahkan proses pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

MINGGU KETIGA

Dalam minggu yang ketiga, penulis dikehendaki untuk mencari dan memuat turun bahan yang mengandungi Garis Panduan dan Etika Penggunaan Internet. Bahan yang dicari itu juga hendaklah dipindahkan dalam bentuk persembahan power point dan brosur. Maka, minggu yang ketiga ini memerlukan penulis mencari dan memindahkan maklumat pengetahuan dan kefahaman yang khusus kepada peraturan-peraturan dan etika semasa menggunakan perkhidmatan internet.

Melalui amali ini, penulis telah tahu dan sedar bahawa penggunaan, pengaksesan, memuat turun, menaik turun dan sebagainya yang melibatkan bahan dalam bentuk alam maya mempunyai peraturan, etika dan panduan yang perlu dipatuhi agar bahan yang diakses tersebut tidak menyalahi dan melanggar mana-mana undang-undang. Selain itu, penulis juga telah tahu bahawa sesuatu bahan yang diperoleh itu mestilah mempunyai sumber dari mana diperoleh agar bahan yang digunakan tersebut tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak dan hak ketulenan bahan tersebut masih ada. Oleh itu, melalui amali yang dilalui penulis dalam minggu ini telah memberi dan menyedarkan penulis bahawa bahan yang diakses itu mempunyai haknya tersendiri dan tidak boleh digunakan atau dieksploitasi sesuka hati tanpa kebenaran.

MINGGU KEEMPAT

Minggu yang keempat memerlukan penulis untuk mencari bahan-bahan yang dikhususkan dalam mata pelajaran sastera, tatabahasa, dan ilmu serta bidang lain. Bahan-bahan yang dicari tersebut hendaklah dikategorikan mengikut folder dan sub-folder agar bahan yang dicari serta disimpan itu mudah untuk digunakan apabila diperlukan sebagai bahan bantu pengajaran dan pembelajaran semasa di sekolah nanti.

Selain itu, bahan-bahan yang dicari dan disimpan mengikut folder bukan sahaja semata-mata untuk penulis memahiri sesuatu kemahiran yang melibatkan pengajaran berbantukan komputer, malah tugasan yang diberikan juga sebenarnya banyak menyediakan penulis untuk mempelbagaikan bahan pengajaran dan pembelajaran melalui konsep penggabungjalinan mata pelajaran dalam Bahasa Melayu. Bahan-bahan seperti ilmu dan bidang lain selain Bahasa Melayu yang disimpan dalam satu folder tersebut banyak membantu penulis untuk mencari dan mengumpul bahan mengikut kategori mata pelajaran agar bahan pengajaran tersebut dapat diakses dan digunakan dengan mudah sebagai bahan penggabungjalinan mata pelajaran dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu kelak.

MINGGU KELIMA

Tugasan minggu kelima mengkehendaki penulis untuk membina dan menggunakan tapak dan laman web pembelajaran dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Di akhir pembelajaran pada minggu kelima ini, penulis akan dapat membina tapak pembelajaran dan juga laman web bagi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Oleh itu, amali pada minggu ini dapat memberi penulis satu lagi pengetahuan dan juga kemahiran dalam membina laman web sendiri sebagai satu kemahiran di mana penulis dapat berkongsi ilmu dan pengetahuan serta kemahiran dengan rakan-rakan laman yang lain.

Melalui tugasan ini, banyak perkara baru yang penulis pelajari dan mahiri. Antara kemahiran yang penulis dapat pelajari ialah bagaimana untuk membina tapak pembelajaran. Sebelum ini penulis hanya tahu menggunakan sesuatu tapak pembelajaran itu yang dihasilkan oleh individu lain namun melalui tugasan ini penulis dapat merasai sendiri pengalaman bagaimana untuk membina laman. Laman yang penulis hasilkan adalah khusus untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Melaluinya, penulis dapat memindahkan sesuatu pengajaran tersebut dalam bentuk pembelajaran kendiri yang boleh digunakan oleh individu tertentu tanpa pengajaran guru. Ini sebenarnya dapat memberi dan meningkatkan lagi pengetahuan seseorang individu tersebut melalui kerja sendiri di samping dapat menghasilkan sesuatu pembelajaran yang berkesan kerana mudah untuk digunakan, arahan yang ringkas, penuh dengan grafik, berwarna-warni dan sebagainya. Selain itu, melalui pengetahuan dan kemahiran ini penulis juga dapat menggunakannya sebagai bahan bantu mengajar yang mana dapat memudahkan lagi satu-satu proses pengajaran tersebut.

Di samping itu, tugasan minggu ini juga dapat memberi pengetahuan dan kemahiran yang kepada penulis untuk membina laman sendiri. Melalui laman sendiri, penulis juga dapat berkongsi bahan dan idea yang sesuai dengan fokus mata pelajaran Bahasa Melayu agar bahan yang dihasilkan tersebut dapat memberi manfaat sekaligus dapat memajukan lagi perkembangan dan kemajuan dalam meningkatkan lagi penggunaan Bahasa Melayu sesuai dengan edaran teknologi semasa. Sehubungan dengan itu, laman web yang dihasilkan juga bukan sahaja dapat penulis berkongsi bahan dengan rakan lain malah dapat bertukar-tukar pandangan mengenai sesuatu topik yang dibincangkan agar pengetahuan dan pengalaman itu dapat dikembangkan seterusnya dapat memberi manfaat yang berguna kepada semua pelayar laman agar terus dapat memberi sumbangan khususnya melalui Bahasa Melayu.

Wednesday, March 7, 2012

REFLEKSI KERJA KURSUS KESELURUHAN

Assalamualaikum wbt, salam sejahtera, dan salam 1 Malaysia kepada semua pelayar laman web sekalian.
Syukur Alhamdulillah, berkat doa dan izin-Nya maka dapatlah saya siapkan kerja kursus untuk Subjek Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer (BMM3105). Di ruang ini juga, tidak saya lupakan pensyarah yang membimbing, memberi tunjuk ajar dan sentiasa bersabar dengan tingkah laku anak didik beliau yang penuh dengan kepelbagaian karenah masing-masing.

Sering kita dengar dan lihat murid-murid mengatakan bahawa antara mata pelajaran yang paling membosankan di kelas ialah Bahasa Melayu. Benarkah kenyataan ini?. Pandangan saya, kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali. Melalui pengetahuan dan pengalaman saya semasa menjadi murid di sekolah dahulu, yang sebenarnya menjadi faktor kepada ketidakminatan murid itu dalam sesuatu mata pelajaran adalah melalui bagaimana sesuatu perancangan dan pelaksanaan seseorang guru itu di dalam kelas. Di samping itu, sesuatu mata pelajaran itu akan menjadi tidak menarik jika bahan dan juga cara gaya tersebut menyampaikan tidak menarik serta tidak dapat mengawal kelas dengan baik. Selain itu, sesuai dengan peredaran semasa yang penuh cabaran teknologi kini, murid-murid sebenarnya lebih suka dan tertarik jika pengajaran seseorang guru itu dapat diaplikasikan menggunakan teknologi semasa dan lebih mencabar. Oleh itu, kursus ini banyak memberi manfaat dan kelebihan kepada saya untuk digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran semasa di sekolah nanti. InsyaAllah.

Sepanjang saya melaksanakan dan membina laman web ini, banyak pengalaman dan ilmu serta kemahiran baru yang dapat saya peroleh dan timba. Saya sedar bahawa sebagai seorang bakal pendidik, pengalaman dan ilmu haruslah ditimba dan dicari sebanyak mungkin sebagai persediaan dan bekalan untuk dibawa ke alam pekerjaan yang sebenar nanti. Oleh itu, melalui kursus ini secara tidak langsung saya dapat mengumpul dan menyimpan sebanyak bahan yang boleh sebagai simpanan dan bekalan saya nanti untuk dijadikan sebagai bahan bantu pengajaran. Di samping itu, saya sedar bahawa sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang pelbagai, menarik serta menyeronokkan murid. Melalui kursus ini, secara langsung saya dapat belajar bagaimana untuk membina bahan yang menarik untuk dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, misalnya menghasilkan video yang menarik sesuai dengan tajuk dan tema yang hendak di ajar oleh guru tersebut. oleh itu, peluang dan ruang sepanjang kursus ini dilaksanakan akan saya manfaatkan sebanyak yang mungkin.

Sebagai seorang bakal guru, salah satu kemahiran yang perlu dimahiri dan dipelajari ialah kemahiran membina dan mengaplikasikan laman web. Saya sedar bahawa segala maklumat masa kini boleh diakses ataupun dicari menggunakan hujung jari sahaja, bermaksud maklumat yang ingin kita capai sungguh mudah dan senang dicapai melalui akses internet. Dengan itu, melalui kursus ini saya dapat belajar bagaimana membina laman sesawang pengajaran dan pembelajaran untuk murid khususnya untuk subjek Bahasa Melayu (Major saya) di samping dapat memuat naik dan turun bahan yang disalurkan. Kesannya, pengajaran dan pembelajaran itu akan menjadi lebih mudah di samping dapat mempertingkatkan kemahiran murid dalam menggunakan Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Secara tuntasnya, dapatlah saya simpulkan bahawa kursus ini memberi ruang serta peluang kepada saya untuk menimba sebanyak mungkin kemahiran teknologi maklumat untuk diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Selain itu, kursus ini juga dapat meningkatkan kemahiran yang dapat membantu serta mempermudahkan proses penyampaian pengajaran di dalam kelas kelak. Akhir kata, segala ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang dimiliki  dapat terus dikembangkan dan digunakan semaksimum yang mungkin serta diaplikasikan di sekolah nanti. InsyaAllah, sekian.

Monday, March 5, 2012

Pakej Pembelajaran KSSR

Hasil Kerja Berkumpulan Pakej Pembelajaran yang telah dibentangkan dalam amali kelas Encik Mohd Firdaus Bin Abdul Salam, Pensyarah Pembimbing Subjek BMM3105.